Tulisan Ini dikutip dari Aceh Institute
RE: [Aceh-Institute] Hubungan Indonesia-Malaysia; Tanggapan Kritis Untuk Franz Magnis Suseno
Assalamualaikum. Saya jarang sekali menulis dalam mailing list ini. Hanya sekadar membaca untuk mengikuti perkembangan perkara-perkara yang berlaku di Aceh. Tulisan-tulisannya selalu memberikan informasi yang menarik, relevan, dan kadang-kadang melucukan. Namun saya terpanggil untuk menulis pendapat saya berkenaan apa yang dituliskan oleh saudara WinWanNur tempoh hari berkenaan hubungan Malaysia-Indonesia dan saranan beliau kepada warga Indonesia tentang bagaimana harus diperlakukan orang-orang Malaysia. Pada saya pendapat beliau adalah terlalu mengikut emosi, salah, malah membahayakan. Oleh sebab inilah saya terpanggil untuk memberikan sedikit penjelasan.
Malaysia dan Indonesia memang mempunyai sejarah yang bersama yang unik. Sebagai negara serumpun yang mempunyai pertalian yang rapat kita bagaikan adik-beradik dari satu keluarga yang tidak akan terlepas dari masalah kekeluargaan. Lihat saja keluarga kita sendiri. Mana ada keluarga yang terlepas dari persoalan masalah keluarga. Walau bagaimanapun, sebagai ahli keluarga kita akan selalu cuba mencari solusi yang paling sesuai. Kita akan cuba elak dari menggunakan kekerasan kerana orang yang bakal disakiti itu adalah keluarga kita sendiri. Dan kalau dia sakit kita juga akan merasai kesakitannya. Masalah akan tetap ada. Seperti kata seniman agong Melayu asal Aceh, P. Ramlee – sedangkan lidah lagi tergigit…
Berbalik kita kepada persoalan Malaysia-Indonesia. Saya tidak akan memberikan banyak alasan kenapa orang-orang Malaysia dilihat bertindak kejam. Kalau kita salah, ya, kita akan mengaku salah. Tapi sebaliknya kalau kita berasa tidak bersalah, maka alasan dan jawapan yang sesuai harus diberikan.
Kebelakangan ini banyak dibangkitkan tentang kejahatan orang-orang Malaysia di media Indonesia dan di dunia internet. Apa memang orang-orang Malaysia itu sangat jahat dan layak dilabel dan diperlakukan sedemikian oleh pembenci-pembenci Malaysia? Apa tidak ada kebaikan lansung di pihak Malaysia dan di kalangan orang-orang Malaysia? Malangnya apa kebaikan yang dilakukan oleh manusia sering tidak dipandang. Yang hanya dipandang adalah keburukan dan kejahatan, walaupun dilakukan oleh segelintir ahli masyarakatnya.
Berita-berita ini sebenarnya tidak dilaporkan dalam media Malaysia secara mendalam. Orang-orang Malaysia memang menganggap remeh perdebatan yang ditimbulkan tentang kejahatan orang Malaysia dan hubungan Malaysia-Indonesia. Oleh itu jarang ada jawapan kepada persoalan yang ditimbulkan oleh pembenci Malaysia dari Indonesia. Izinkan saya di sini memberikan sedikit pandangan tentang beberapa isu yang dibangkitkan oleh saudara Win.
Persoalan tarian dan budaya adalah satu persoalan yang remeh. Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai ramai penduduk yang datang dari pelbagai negara dan daerah yang lain. Ada kampong Melayu, Cina, India, Kadazan, dan lain-lain lagi. Ada juga kampong Aceh, Jawa, Mandailing, Banjar, Bugis yang rata-rata penduduknya berasal dari negara asal mereka tetapi kini mengaku diri mereka sebagai rakyat Malaysia. Bila mereka datang, mereka membawa bersama mereka budaya, adat resam, bahasa, makanan dan lain-lain dari tempat asal mereka. Malaysia akan salah kalau mengaku bahawa budaya yang pelbagai ini adalah ciptaan bumi Malaysia kerana mereka sebenarnya dibawa ke tanah ini oleh penduduk yang aslinya dari Jawa, Aceh, Cina, India atau dari mana saja. Kami sama-sama menikmatinya. Salahkah ini? Pencinta budaya dari Indonesia seharusnya bangga kerana budaya mereka telah diterima dan dinikmati bersama oleh penduduk negara lain. Saya pasti bila ada acara budaya di Amerika atau di Eropah yang mempamerkan budaya Aceh atau budaya Jawa di sana, pasti orang Aceh atau orang Jawa akan merasa bangga. Kenapa tidak bangga bila ianya dimainkan dan dinikmati oleh orang Malaysia?
Persoalan tenaga kerja adalah satu persoalan yang lebih rumit. Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai cita-cita tinggi tetapi mempunyai bilangan penduduk yang sangat sedikit jika dibandingkan dengan Indonesia atau negara jiran yang lain. Populasi Malaysia adalah hanya sebesar kurang lebih 27 juta penduduk. Ini tidak mencukupi untuk membangunkan negara ini. Pekerja-pekerja harus dibawa masuk untuk sama-sama membangunkan Malaysia. Ini kita terima dan ini kita hargai. Kami rakyat Malaysia sebenarnya menerima pekerja-pekerja dari luar dengan tangan terbuka. Tetapi perlu ada aturan kerja yang sesuai termasuk proses kemasukan pekerja di Malaysia. Jika tidak keadaan akan menjadi hura hara dan kemasukan yang tidak terkawal akan mengancam keselamatan dan perkembangan Malaysia sebagai sebuah negara. Dalam keadaan yang mempunyai aturan yang ketat ini sekalipun, kita mempunyai lebih kurang 2 juta pendatang di Malaysia, yang legal dan illegal. Persoalan tidak akan timbul jika tiada masalah lansung yang ditimbulkan oleh tetamu-tetamu kita ini, tapi sudah menjadi lumrah manusia masalah akan sentiasa timbul walau kita cuba mengelaknya. Apabila ini berlaku, akan ada suara-suara yang meminta tindakan diambil dan control yang lebih ketat diadakan dan sebagainya. Sebagai manusia, kita sering meminta tetamu kita ini diperlakukan sebaiknya sesuai dengan nilai kemanusiaan. Malangnya ada individu-individu yang bertindak keras dan ini tidak boleh ditoleransi. Untuk kelakuan mereka, saya bagi pihak orang-orang Malaysia yang prihatin, mohon ribuan ampun dan maaf dan akan berkerja keras supaya ini tidak berulang. Untuk kes-kes penganiayan terhadap pembantu rumah, ini juga tidak dapat dimaafkan, walau sekecil manapun bilangannya, dan tindakan keras harus diambil terhadap pelakunya. Setahu saya, kes-kes ini telah diadili di mahkamah dan pelakunya telah dijatuhkan hukuman penjara. Berkenaan isu pembantu rumah, saya sebenarnya serba salah. Saya mengerti yang mereka yang datang berkerja ke Malaysia datang kerana kesempitan di kampong mereka sendiri. Wang yang sedikit yang mereka dapat akan dihantar untuk membantu keluarga. Malangnya mereka tidak boleh memilih majikan dan memang ada majikan yang kurang ajar di mana-mana saja. Saya sedih melihat keadaan mereka terutama yang berkerja dengan majikan bukan Islam. Status kita sebagai umat Islam sebenarnya diperkecilkan dalam situasi ini, tidak kira jika majikannya baik atau tidak. Saya mencadangkan pembantu rumah yang Islam dari Indonesia tidak ditempatkan di rumah majikan bukan Islam, untuk menjaga mereka dan untuk menjaga Islam itu sendiri.
Masih dengan soal tetamu dari luar, untuk pengetahuan saudara Win dan teman-teman lain, Malaysia merupakan negara destinasi utama bagi tetamu-tetamu Muslim dari rantau ini, yang datang mencari pekerjaan atau untuk melarikan diri dari konflik dan peperangan. Dari Indonesia tidak terkira banyaknya. Banyak yang telah menjadi permanent resident, malah warga negara Malaysia. Dari Filipina, juga ratusan ribu orang-orang BangsaMoro yang menetap di sini, terutama di Sabah. Mereka datang dengan banyaknya semenjak zaman Marcos dalam awal tahun 70an untuk lari dari peperangan di sana dan ramai yang mendapat status permanent resident dan warga negara. Yang belum mendapat kedua status ini, sekitar 70,000 mendapat status penduduk sementara yang boleh tinggal atas dasar kemanusiaan kerana perang di Mindanao. Orang-orang Rohingya dari Burma ada antara 20,000 hingga 30,000 dengan lebih kurang 14,000 mendapat status refugee dan berdaftar dengan UNHCR. Puluhan ribu saudara kita dari Aceh juga mendapat layanan istimewa dan diberikan status penduduk sementara selepas bencana tsunami dulu. Ramai saudara kita orang Melayu Islam Patani yang lari dari situasi konflik di Selatan Thailand juga menetap di negara ini. Alasan saya menyebutkan semua ini yang mungkin dilihat sebagai data sensitif adalah untuk menunjukkan bahawa kita sebenarnya amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh saudara-saudara kita dari rantau ini, terutama yang beragama Islam. Cumanya kita tidak boleh membuka pintu seluas-luasnya tanpa control kerana ini akan menimbulkan masalah konflik etnik dan agama yang telah memang kita ada. Dan kita juga tidak boleh membuat ini semua dengan terlalu terang, juga kerana masalah sosio-politik. Tetapi percayalah bahawa terdapat ramai orang Malaysia termasuk pegawai pemerintah yang prihatin akan hal ini dan selalu cuba membantu sedaya upaya mereka.
Ada beberapa hal lagi yang mungkin saudara Win tidak tahu. Kita tidak pernah membezakan antara rakyat Malaysia dan Indonesia, terutama di kampus-kampus. Di USM Penang ini kita memang telah dari dulu mempunyai ramai mahasiswa Indonesia, terutama dari Aceh. Kita tidak pernah menganaktirikan mereka, malah kita kadang-kadang melebihkan mereka yang datang dari Aceh kerana kita tahu akan masalah yang mereka hadapi di tempat sendiri. Tanya saja dengan teman-teman yang pernah datang ke USM Penang. Oleh itu saya berasa amat sedih jika mailing list Aceh Institute ini digunakan sebagai platform untuk membantai Malaysia dan orang-orang Malaysia termasuk saya sendiri. Terutama sekali bila Aceh Institute ini didirikan di USM sewaktu zaman konflik dan saya sendiri adalah salah seorang pendirinya, sebelum AI dihantar pulang kembali ke Aceh selepas damai. Saya sendiri mempunyai beberapa mahasiswa dari Indonesia/Aceh dan saya telah membantu mereka mendapatkan biasiswa dan lain-lain bantuan, disamping membimbing mereka dalam pendidikan mereka. Ini semua dilakukan tanpa mengira kulit atau kerakyatan, dan jika ini semua tidak dipedulikan, apa yang saya boleh buat.
Akhir sekali, saya sedar bahawa saat ini ramai yang ingin bertindak secara keras terhadap Malaysia dan orang Malaysia, termasuk saudara Win sendiri yang ingin memperlakukan kita seperti “anjing kampong”. Ini saya kesalkan, walaupun saya faham ianya mungkin datang dari perasaan ingin melepaskan emosi atau geram. Jika saudara Win ingin melepaskan emosi ini secara keras, saya sanggup ke Banda Aceh selepas bulan Ramadhan ini dan menyerahkan diri saya untuk dipukuli semaunya seperti “anjing kampong” oleh saudara Win, tanpa memberikan apa-apa balasan. Cuma nyatakan tempat dan waktunya dan saya akan sampai, InsyaAllah. Semoga dengan melepaskan emosi ini secara fizikal segala stress yang dirasai oleh saudara Win akan hilang buat selamanya dan anda akan lebih damai. Wassalam.
Kamarulzaman Askandar
Coordinator, Research and Education for Peace, Universiti Sains Malaysia (REPUSM)
Regional Coordinator, Southeast Asian Conflict Studies Network (SEACSN)
School of Social Sciences, Universiti Sains Malaysia, Minden, Pulau Pinang, 11800, Malaysia
Tel: 6-04-653 2123 / 6-04-653 2658
Fax: 6-04-657 7070
Email: zam@... , www.seacsn.net
Senin, 14 September 2009
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar